SHAH ALAM, 7 MEI 2022: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj bertitah agar semua jemaah haji Malaysia terutama dari negeri Selangor untuk mengekalkan disiplin dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dan Jabatan Agama Islam Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.
Baginda mengucapkan tahniah kepada TH yang sentiasa bersedia untuk menjaga kebajikan dan keselamatan semua jemaah haji Malaysia. Setiap tahun pelbagai perkhidmatan dan prasarana baru disediakan TH demi keselesaan jemaah haji negara yang turut menjadi model ikutan negara-negara lain.
“Anugerah Labbaitom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik dalam dunia Islam daripada Kerajaan Arab Saudi merupakan pengiktirafan kepada negara.
Anugerah ini membuktikan keupayaan TH mempersiapkan jemaah haji menerusi program bimbingan dalam aspek ilmu haji, menjaga keselamatan dan kesihatan, sikap kendiri, peradaban serta kepentingan menjaga kebersihan persekitaran”, jelas Baginda lagi.
Tuanku juga bertitah agar semua bakal haji berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain , agar ibadat haji yang bakal dilaksanakan berjalan dengan lancar dan pulang dengan haji yang mabrur.
TH menganjurkan Kursus Perdana Haji Musim 1444H/2023M secara berperingkat di seluruh negara bermula 29 April sehingga 14 Mei 2023 yang merupakan kursus terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan oleh TH di seluruh Malaysia.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata objektif utama TH menganjurkan Kursus Perdana Haji ini adalah bagi melahirkan jemaah haji yang berpengetahuan dan berkeyakinan ketika melaksanakan ibadat haji kelak.
Ia sangat penting agar bakal haji dapat membuat persiapan dari segi ilmu haji dan rohani sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Bakal-bakal haji akan melalui praktikal seperti bertawaf, sa’ie, melontar jamrah dan ibadat haji lain secara berkumpulan bagi memberi gambaran sebenar di Tanah Suci melalui kursus ini, kita tunjukkan mereka suasana sebenar sepanjang ibadah itu dilakukan kelak,” tambah beliau.
“Bakal haji perlu mempersiapkan diri dan selesaikan urusan peribadi bermula dari sekarang. Biasakan melakukan senaman ringan dan menjaga kesihatan sebelum berlepas ke Tanah Suci.
Dalam situasi wabak yang masih belum pulih sepenuhnya, kesihatan dan kebersihan diri perlu diutamakan dan jika tidak sihat, segeralah ke klinik-klinik TH untuk mendapatkan rawatan bagi mengelak ia berlarutan,” nasihat Dato’ Sri Syed Saleh.
Pada Kursus Perdana Haji tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor turut menyumbang 1,500 suntikan percuma vaksin Pneumokokus yang amat digalakkan untuk mencegah radang serius di paru-paru yang disebabkan oleh bakteria.
Seramai 6,000 jemaah dari Selangor menyertai Kursus Perdana Haji 2023 daripada 31,600 jumlah keseluruhan Jemaah Haji Malaysia yang akan menunaikan haji pada tahun ini berbanding 14,306 jemaah pada musim lalu akibat pandemik COVID-19.
-Tamat -