SHAH ALAM, 20 APRIL 2025 – Seramai 8,338 bakal haji daripada negeri Selangor mempersiapkan diri untuk fasa akhir menerusi Kursus Perdana Haji Musim 1446H/2025M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 11 April hingga 4 Mei 2025.
Kursus selama dua hari satu malam ini merupakan kemuncak kursus haji bagi memperkukuh kefahaman berkaitan manasik (tatacara pelaksanaan) haji kepada bakal jemaah haji terpilih pada musim ini sebelum berangkat ke Tanah Suci yang melibatkan aktiviti praktikal seperti tawaf, sa'ie, bermabit dan melontar.
DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan mencemar duli menyempurnakan penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada hari ini.
Baginda bertitah agar para jemaah haji Selangor agar sentiasa menjaga tahap disiplin dan kesihatan diri sepanjang berada di Tanah Suci. Baginda menyeru agar para jemaah menumpukan masa dan tenaga kepada ibadah serta mematuhi segala peraturan semasa di Tanah Suci
Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar; Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, selain barisan kepimpinan kerajaan negeri dan agensi. SIARAN AKHBAR
Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im berkata Kursus Perdana ini dirangka bagi memberikan gambaran suasana sebenar di Tanah Suci sekali gus melatih bakal-bakal haji agar bersedia menghadapi pelbagai situasi mencabar semasa kemuncak haji yang menghimpunkan hampir tiga juta orang jemaah dari serata dunia.
“Saya ingin mengingatkan bakal-bakal haji untuk mempersiapkan diri sepenuhnya sebelum berangkat ke Tanah Suci, bukan sahaja daripada segi persiapan barangan, tetapi lebihkan persiapan mental dan rohani, tingkatkan kefahaman ilmu agama dan ibadat haji,” kata beliau.
“Bakal-bakal haji juga diingatkan supaya menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan dengan melakukan senaman, membiasakan diri untuk minum air dengan kerap dan bersedia dengan ubat-ubatan yang disarankan oleh pihak doktor kerana Hari Wukuf pada tahun ini masih lagi dalam musim panas,” tambah beliau lagi.
Bagi musim haji 1446H/2025M, negeri Selangor mencatatkan jumlah jemaah haji paling tinggi iaitu seramai 8,338 orang yang terdiri daripada 3,609 jemaah lelaki dan 4,729 jemaah wanita.
Saban tahun, beberapa peringkat kursus telah dianjur oleh TH bermula dengan Kursus Asas, diikuti Kursus Intensif, Kursus Khas dan seterusnya disempurnakan dengan Kursus Perdana bagi bakal-bakal haji di seluruh negara.
-TAMAT-