KUALA LUMPUR, AHAD, 26 Mac 2023 – Lembaga Tabung Haji (TH) menggesa semua bakal haji negara untuk segera menjawab tawaran haji susulan pengeluaran surat tawaran tunai haji kepada 31,600 bakal haji bagi musim haji 1444H/2023M bermula pada hari Rabu, 22 Mac 2023 yang lalu.
Pengarah Eksekutif Haji, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata bakal haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my dan memuat turun aplikasi THiJARI untuk menyemak serta menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan.
"Pihak kami memohon kerjasama semua bakal haji tahun ini untuk menjawab sama ada setuju atau tidak untuk menerima tawaran haji tahun ini dalam masa tujuh hari bekerja dari tarikh surat berkenaan,” kata beliau.
Dato’ Sri Syed Saleh turut memaklumkan bahawa semua bakal haji terpilih perlu mencukupkan wang dalam akaun TH sejumlah bayaran haji yang tertera dalam surat tawaran serta mendapatkan Buku Rekod Rawatan di mana-mana cawangan TH yang berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan dilakukan.
“Pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan di hospital ataupun klinik-klinik kerajaan dan swasta yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia dan semua bakal haji diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan bagi memperolehi visa haji sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi" jelas Dato’ Sri Syed lagi.
“Setelah selesai pemeriksaan kesihatan, semua bakal haji diminta untuk menghantar jawapan surat tawaran haji, buku rekod rawatan dan pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangan TH yang berhampiran," kata beliau lagi.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan TH, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.