KUALA LUMPUR, 28 Februari 2016 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini sekali lagi menafikan tuduhan TH memberi jaminan korporat (corporate guarantee) kepada syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).
TH meminta Ahli Parlimen Pandan untuk menamakan bank yang memberikan pinjaman kepada THHE dengan surat jaminan korporat TH seperti yang didakwa.
TH amat kesal dengan penyebaran dokumen-dokumen melalui laman sosial secara rambang dan tuduhan tidak berasas serta berunsur fitnah. Dakwaan tersebut memberi impak negatif kepada TH dan akan menjejaskan kepentingan para pendepositnya.
Oleh yang demikian, TH telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pandan berkaitan dakwaan-dakwaan dan dokumen-dokumen yang telah disebarkan oleh beliau.
Langkah ini diambil oleh TH bagi menjaga kepentingan para pendeposit dan reputasi TH sebagai sebuah Institusi Islam di Malaysia. TH akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secepat mungkin.
Bahagian Hal Ehwal Awam Dan Komunikasi Korporat
LEMBAGA TABUNG HAJI
-Tamat-
2016 Press Release - Laporan Polis & Minta Bukti Pinjaman Bank (Final)