Lembaga Tabung Haji telah menyerahkan kutipan sumbangan kepada Tabung Tangisan Gaza, berjumlah RM20,500.00 kepada wakil Jabatan Perdana Menteri (JPM), di ibu pejabatnya di Jalan Tun Razak.
Kutipan sumbangan ini telah dijalankan sebagai tanda simpati, sokongan dan keprihatinan Anggota Tabung Haji di Ibu Pejabat, Pejabat Negeri dan Cawangan di seluruh Malaysia serta surau Tabung Haji terhadap inisiatif Kerajaan dalam menyokong perjuangan serta membantu meringankan penderitaan yang dilalui oleh rakyat Palestin, terutama sekali mereka yang mendiami kawasan Tebing Gaza. Kutipan untuk tabung ini diharap dapat membantu pembelian barangan keperluan seperti ubat-ubatan, makanan dan pakaian.
Sumbangan Anggota Tabung Haji ini telah diserahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato' Paduka Ismee Ismail kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Othman Haji Mahmood. Turut hadir menyaksikan penyerahan ini ialah Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Dato' Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor; Ahli-ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji dan Pengurus Besar, Yayasan Keamanan Global Perdana, Tuan Haji Shamsul Azhar.