Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah menyerahkan zakat pendidikan berjumlah RM125,000 kepada 14 buah sekolah menengah terpilih di Daerah Tampin dalam satu Majlis Sumbangan Program Iqra’ yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mohd Taha, Gemencheh, Negeri Sembilan.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Operasi TH dan turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Hamzah Abu, Pegawai Pendidikan Daerah Tampin, pengetua–pengetua, guru-guru sekolah terpilih serta anggota TH.
Seramai 250 orang pelajar menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai berjumlah RM300 setiap seorang. Pihak TH berharap sumbangan ini dapat memberi motivasi kepada para pelajar untuk terus cemerlang dalam pelajaran mereka.
Program Iqra’ ini merupakan salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat TH dengan keseluruhan pengagihan zakat pendidikan bernilai RM2 juta kepada 4,000 pelajar di 178 buah sekolah di seluruh negara bagi tahun ini.