Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini menziarahi keluarga Allahyarham Ahmad Bin Saidin, 75 di Kampung Pondok, Batu Hampar, Merbok, Kedah.
Allahyarham Ahmad Bin Saidin merupakan jemaah haji ke-17 negara ini yang telah meninggal dunia di Tanah Suci pada musim haji 1434H. Beliau dilaporkan telah meninggal dunia di penginapannya, Hotel Abraj Janadriyah, Makkah pada Ahad, 27 Oktober 2013 jam 7.15 pagi (waktu Saudi) akibat masalah jantung.
Jenazah Allahyarham Ahmad Bin Saidin telah diuruskan oleh para petugas TH di Makkah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah.
Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kenyataannya yang mewakili seluruh warga kerja TH merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Ahmad Bin Saidin. Beliau berharap semoga seluruh keluarga terutamanya diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan kehilangan insan tercinta. Beliau juga turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.