SEPANG, 26 September 2018 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menamatkan fasa kedua operasi bagi Musim Haji 1439H/2018M dengan ketibaan penerbangan terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ketibaan kumpulan akhir jemaah haji ini juga turut menandakan operasi haji bagi Musim Haji 1439H/2018M telah selamat dilaksanakan dengan jayanya.
Penerbangan FLYNAS XY7710 yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdul Aziz ini membawa seramai 491 orang jemaah haji (205 jemaah lelaki; 286 jemaah wanita) dan tiba di tanah air pada hari ini tadi; Rabu, 26 September 2018 (4:02 pagi; waktu Malaysia).
YBrs. Tuan Haji Mohd Hisham Harun, Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air mengambil kesempatan bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada para jemaah haji yang telah selesai menunaikan fardhu haji dengan selamat. Ketibaan para jemaah haji juga disambut gembira oleh ahli keluarga dan sanak saudara masing-masing di KLIA sejak awal pagi.
Penerbangan Balik Haji Terakhir 1439H/2018M Tiba di KLIA
Haji
Rabu, 26 September 2018