Yang Berhormat Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menziarahi keluarga Allahyarhamah Zaleha Bt Yasin, 63 di Felda Kota Gelanggi 04, Jerantut Pahang.
Allahyarhamah Zaleha merupakan jemaah haji pertama negara ini yang telah meninggal dunia pada musim haji 1436H. Beliau dilaporkan meninggal dunia pada 24 Ogos 2015 jam 12.00 tengahari (waktu Saudi) akibat masalah jantung di Madinah.
Jenazah Allahyarhamah Zaleha telah diuruskan oleh para petugas TH dan dikebumikan di tanah perkuburan Baqi di Madinah pada hari yang sama.
Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mewakili seluruh warga kerja TH merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarhamah Zaleha dan berharap seluruh keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian kehilangan insan tercinta. Beliau juga turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah.