SEPANG, 12 Ogos 2020 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan "Bengkel Pelan Tindakan Kertas Dasar & Governans, Nilai & Etika Dan Akhlak & Budaya TH" di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang.
YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (PUK/KPE) TH hadir menyampaikan ucaptama kepada para peserta pada majlis perasmian bengkel pagi ini. Menerusi ucapannya, beliau mengingatkan para peserta mengenai perkaitan seruan "Marilah Menuju Kejayaan" yang terdapat pada logo TH dan ketika azan dilaungkan menyeru umat Islam untuk mengejar kejayaan dalam hidup. Beliau turut mengingatkan para peserta untuk mendalami maksud mengejar kejayaan ini dalam setiap perkara yang dilakukan, sekaligus bersemangat dalam setiap perkara.
Turut hadir sama YBhg Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hasan, Felo Institut Latihan Islam Malaysia dan Dr. Mohd Nizam Mohd Ali, Konsultan Pembangunan Modal Insan dan Integriti untuk sesi perkongsian kepada para peserta bengkel.