Lembaga Tabung Haji (TH) sebuah institusi Islamik utama dan ikonik negara telah menganjurkan Kem Motivasi pertama “Kem Muslim Super” untuk pelajar-pelajar sekolah PINTARnya pada 3 hingga 5 April 2015 di Lembah Azwen Resort, Hulu Langat.
Seramai 140 pelajar menengah atas menyertai daripada dua sekolah menengah PINTAR TH; Sekolah Agama Menengah Sungai Haji Dorani dan Sekolah Agama Menengah Bagan Terap dari daerah Sabak Bernam menyertai program ini.
Kem tiga hari dua malam ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan holistik para pelajar sekolah PINTAR TH yang merangkumi aspek intelektual, fizikal dan pembangunan rohani. Pada masa yang sama, kem yang dirangka dengan pengisian aktiviti yang menyeronokkan namun bersifat pendidikan dan motivasi ini juga bertujuan untuk membantu para pelajar mengenal pasti serta menzahirkan potensi diri.
Seterusnya, kem ini juga bertujuan untuk memupuk nilai-nilai murni sekolah dan agama Islam di kalangan pelajar seperti disiplin diri, tumpuan, ketekunan, komitmen, kesungguhan dan pemikiran positif. Kem ini turut mendedahkan para pelajar kepada aspek pengurusan masa, kerja berpasukan, kepimpinan dan yang paling penting sifat
bertanggungjawab, selain bagaimana untuk menyelesaikan masalah serta keluar dari zon selesa mereka.