KUALA LUMPUR Rabu, 26 Februari - Sabda Rasullullah SAW : “Ya Allah, berkatilah kami di Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah kami ke Ramadan”.
Rejab akan mengingatkan umat Islam hampirnya kedatangan Ramadan yang dinanti-nantikan sekalian yang beriman kepada Allah SWT, kerana keberkatan dan kelebihan Ramadan memberi peluang umat Islam merebut ganjaran pahala berlipat kali ganda.
Tabung Haji hari ini telah melancarkan Program R.S.R (Rejab, Sya’aban, Ramadan) bagi tahun 1441H/2020M bertempat di Dewan Besar Lantai 1 TH. Program ini adalah anjuran Jabatan Sumber Manusia melalui Cawangan Pembangunan Sahsiah TH.
Objektif program ini adalah bertujuan memupuk budaya cintakan Al-Quran dan berlumba-lumba melakukan kebajikan terutamanya pada tiga bulan ini. Di samping itu, ia juga bertujuan membentuk persekitaran yang baik (biah solehah) dalam organisasi.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff telah merasmikan serta melancarkan Program R.S.R tersebut. Hadir sama di dalam majlis ini adalah Tuan Haji Hizamuddin Jamalluddin, Ketua Pegawai Strategi & Ketua Staf TH;
Tuan Haji Zainal Abidin Haji Omar, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Strategik Sumber Manusia TH; Tuan Haji Mohd Norber Kassim, Pengurus Besar Bahagian Pembelajaran dan Pembangunan TH
serta anggota-anggota TH dan orang awam.
Di dalam majlis ini juga, diadakan ceramah khas yang disampaikan oleh Ybhg Ustaz Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Joofre dengan membawa tajuk ceramah ”Kelebihan Bulan Haram”.
Program ini juga merupakan langkah persediaan awal TH bagi menyambut ketibaan bulan Ramadan Al-Mubarak.