Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan lima buah rumah projek bantuan perumahannya kepada lima keluarga asnaf terpilih dari daerah Hilir Perak, Teluk Intan dibawah Projek Baiti TH dalam satu majlis penyerahan ringkas hari ini.
Projek Baiti yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) ini memperuntukkan bantuan berjumlah RM200,000.00 untuk penerima asnaf yang terpilih dan layak di peringkat negeri Perak bagi tahun 2014 dan 2015, di dua daerah terpilih iaitu di daerah Teluk Intan dan Gerik (empat buah rumah). TH dengan kerjasama MAIPk telah berjaya membina dan menyiapkan sembilan unit rumah bagi tempoh dua tahun ini dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM400,000.00 dibawah projek ini.
Majlis simbolik penyerahan rumah berkenaan telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Nawawi Ishak, Pengarah TH Negeri Perak di Kampung Pulau Ganda Suli, Hutan Melintang, Teluk Intan. Turut hadir menyaksi dan menyerikan majlis serahan tersebut ialah YBrs. Dr. Amiruddin bin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Lembaga Tabung Haji Serah Rumah Projek Baiti
Korporat
Rabu, 3 Februari 2016