KUALA LUMPUR, 17 DISEMBER 2019 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan majlis penyerahan sumbangan kenderaan dwifungsi – yang boleh digunakan sebagai van jenazah dan membawa penumpang; kepada 25 masjid terpilih seluruh negara bernilai kira-kira RM3 juta.
“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada program zakat TH yang bertujuan membantu pihak pengurusan masjid menjalankan tanggungjawab mereka dalam aspek fardu kifayah untuk manfaat dan kemaslahatan kariah setempat seperti urusan pengebumian jenazah serta kemudahan pengangkutan kepada ahli kariah. Di samping itu juga, ia bertujuan untuk pihak masjid menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan seperti kelas-kelas fardu ain dan sebagainya,” kata YBrs. Tuan Haji Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang hadir menyempurnakan penyerahan tersebut.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengurusan Kanan TH, ahli jawatankuasa masjid, wakil penerima sumbangan serta anggota-anggota TH.