Standard Chartered Saadiq telah memeterai kerjasama jangka panjang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) yang melibatkan hartanah di luar negara serta perniagaan pelancongan.
Standard Chartered Saadiq telah menyediakan kemudahan pembiayaan patuh Syariah dua tahun berjumlah GBP65 juta kepada dua anak syarikat milik penuh TH untuk pengubahsuaian dan pembiayaan semula hartanah pejabat di United Kingdom. Sebahagian daripada dana tersebut telah dikeluarkan kepada LTH Property Holdings Ltd untuk membiayai sebahagian daripada pengubahsuaian harta pejabatnya di London, sementara yang selebihnya digunakan bagi pembiayaan semula bagi pembiayaan berjangka untuk hartanah pejabat kedua yang dimiliki oleh LTH Property Holdings 2 Ltd di Surrey.
Di bawah terma pembiayaan ini, TH mempunyai kelonggaran untuk menukar cagaran pembiayaannya dari tunai kepada sukuk, membolehkan ia mengoptimumkan sepenuhnya pelaburan sukuk yang sedia ada, manakala Standard Chartered Saadiq diberi pilihan untuk melanjutkan kemudahan itu untuk satu tahun lagi. Ini adalah perjanjian Pembiayaan Berstruktur Islam pertama untuk Standard Chartered Saadiq di Asia Tenggara. Perjanjian itu telah dimeterai di Standard Chartered Bank Offshore Labuan, menjadikan ia perjanjian transaksi Pasaran Kewangan pertama mereka sebagai sebuah entiti luar pesisiran.