Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini mengadakan majlis pertukaran memorandum perjanjian dengan usahawan-usahawan Bumiputera di Bangunan Ibu Pejabat TH, disini.
Usahasama strategik ini bertujuan memajukan pembangunan usahawan Bumiputera agar mereka lebih berdaya saing dan maju. Inisiatif ini juga sejajar dengan objektif TH membantu syarikat dan usahawan Bumiputera dalam mengembangkan perniagaan serta meningkatkan keupayaan dan kepakaran mereka.
Empat (4) syarikat yang terlibat dalam majlis pertukaran memorandum perjanjian adalah Skala Holdings Sdn. Bhd., Bina Paint Industries Sdn. Bhd., Masri Processing Sdn. Bhd. dan Hajar Hijrah Sdn. Bhd. dengan disaksikan oleh YB. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
Syarikat usahawan Bumiputera ini telah menunjukkan kerjasama dan komitmen tinggi dalam bekerjasama dengan pihak TH. Skala Holdings Sdn. Bhd. merupakan kontraktor bagi hiasan dan rekaan dalaman; Bina Paint Industries Sdn. Bhd. adalah pengeluar cat manakala Masri Processing Sdn. Bhd. dan Hajar Hijrah Sdn. Bhd masing-masing terlibat dalam bidang pengilangan dan pemprosesan ayam.
Perjanjian ini juga menunjukkan keterlibatan TH sebagai inkubator dalam membimbing serta membangunkan syarikat usahawan kecil ke arah menjadi sebuah syarikat yang lebih besar dan mampan pada masa hadapan.