Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu berkenan mencemar duli berangkat hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada 150 orang bakal Jemaah Haji Negeri Terengganu di TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu, Terengganu hari ini.
Kumpulan ini dijadualkan berlepas menerusi penerbangan KT27T (MH8423) pada Rabu, 17 Julai 2019 pukul 1.00 pagi dari Kuala Terengganu Ke KLIA. Mereka kemudiannya meneruskan penerbangan dari KLIA menerusi penerbangan KT27 (MH8126) pada pukul 5:10 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 8:40 pagi (waktu Arab Saudi).
Majlis ini turut dihadiri oleh YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, Tuan Haji Mohd Ridzuan Wahi, Pengurus Besar Simpanan dan pengeluaran TH, YBhg. Dato’ Haji Mohyen Mosman, Pengarah Negeri Terengganu serta wakil-wakil kementerian dan agensi-agensi Kerajaan Negeri Terengganu.