SIPITANG, 23 Disember 2021 – Seramai 100 keluarga di daerah ini menerima Sumbangan Bakul Makanan TH berjumlah RM10,000 yang disampaikan oleh YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
“Di kala negara sedang dilanda pelbagai musibah, Kerajaan terus prihatin dengan nasib rakyat khususnya golongan asnaf dan B40 seluruh negara. Dengan penyerahan Sumbangan Bakul Makanan TH pada hari ini adalah diharapkan dapat meringankan serba sedikit bebanan yang ditanggung semua,” ujar beliau di Majlis Sumbangan Bakul Makanan TH di Masjid Pekan Sipitang yang turut dihadiri oleh Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak, YBhg. Datin Hajah Nurlaila Said serta Ketua-ketua Agensi Agama Islam Sabah.
TH memperuntukkan kira-kira RM100 kepada setiap 100 buah keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40 di daerah ini. Sumbangan ini terdiri daripada barangan keperluan asas seperti beras, minyak, tepung, gula, biskut, susu krimer manis, sardin, bihun dan mi segera.