Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membayar zakat berjumlah RM 4,516,921.10 bagi tahun kewangan berakhir 2017 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dalam satu majlis ringkas di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
Duli Yang Maha Mulia Al-Watiqu Bilah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu telah berkenan menerima bayaran zakat ini daripada YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH. Pembayaran zakat bagi negeri Terengganu ini mencatatkan peningkatan sebanyak 13.72% berbanding RM 3,971,912.54 (2016).
“Saban tahun TH sentiasa melaksanakan bayaran zakat pada permulaan tahun agar wang tersebut dapat dimanfaatkan ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka dan disasarkan kepada golongan asnaf miskin yang layak. TH amat mengutamakan aspek kelestarian ekonomi ummah dan dengan bayaran zakat ini dapat membantu meningkatkan lagi kegiatan ekonomi golongan asnaf,” kata YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH.