Majlis Penyampaian Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) telah diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) merupakan program usaha sama Tabung Haji (TH) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM ) dalam usaha memastikan setiap peserta kursus terutamanya Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) melalui proses pembelajaran berbentuk akademik secara sistematik dan berkesan untuk membimbing jemaah haji. Seramai 150 peserta terdiri dari kalangan pengkursus ibadat haji (PEKTA) dan wakil syarikat Umrah dan orang awam dari seluruh negara telah mengikuti program Sijil Pembimbing Ibadat Haji selama 5 hari bermula 23 Mac hingga 28 Mac 2019.
YBhg Prof. Dato’ Dr. Saddiq Hj. Fadzli, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM telah merasmikan penutup program ini. Manakala YBhg Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan Haji TH telah menyempurnakan penyerahan sijil pembimbing ibadat haji kepada para peserta. Turut hadir sama di dalam majlis ini ialah Tuan Haji Sawal Abong, Pengurus Besar (Penyelidikan & Pembangunan Haji), Tuan Haji Nurrinanuwar bin Shamsuddin, Pengurus Besar (Pengurusan Haji) dan wakil dari USIM serta anggota dari Jabatan Haji TH.