KUALA LUMPUR, 13 Februari 2020 - Tabung Haji (TH) hari ini mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Derma Darah sebagai usaha meningkatkan kesedaran menderma di Dewan Besar TH. Inisiatif ini menyaksikan kehadiran anggota TH, pendeposit TH dan orang awam dengan mencapai sasaran seramai kira-kira 100 penderma.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH anjuran Jabatan Sumber Manusia ini bertujuan membantu mengisi tabung darah negara demi membantu mereka yang memerlukannya. Program seharian di peringkat Ibu Pejabat TH telah bermula jam 9 pagi ini dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan, berikutan kesedaran tinggi masyarakat kepada kepentingan menderma darah. Penganjuran kempen ini juga turut diperluaskan ke semua Pejabat Cawangan TH Negeri yang akan dilaksanakan sepanjang bulan Februari sehingga Mac 2020.