Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyambut kepulangan kumpulan pertama Jemaah Haji Malaysia dari Tanah Suci bagi Musim Haji 1437H/2016M di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut hadir menyambut ketibaan para jemaah haji tersebut ialah YBhg Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang mewakili Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH serta barisan Pengurusan TH.
Kumpulan pertama jemaah haji ini telah berlepas dengan pesawat Saudi Arabian Airlines (SV5644) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Sabtu, 17 September 2016, jam 9.30 malam (waktu Saudi) dan tiba pada hari ini, Ahad, 18 September 2016, jam 11.21 pagi (waktu Malaysia) di KLIA.
YBhg. Dato’ Badlisyah dan Pengurusan TH mengambil kesempatan bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada para jemaah kerana telah selesai menunaikan fardhu haji dan selamat pulang ke Tanah Air. Ketibaan para jemaah juga disambut gembira oleh ahli-ahli keluarga dan saudara mara masing-masing yang sudah berada di Balai Ketibaan, KLIA sejak awal pagi lagi.
Menurut YBhg. Dato’ Badlisyah, pihak TH amat bersyukur kerana operasi musim haji kali ini telah berjalan dengan baik dan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga para jemaah khususnya, dan seluruh rakyat Malaysia amnya, yang sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua jemaah haji negara.
Ucapan terima kasih juga diberikan kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah mengambil langkah-langkah proaktif terutamanya dari segi keselamatan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan para jemaah haji dari seluruh dunia pada tahun ini.
Pihak TH akan mengadakan sesi pascanilai (post-mortem) bagi meneliti maklumbalas yang diterima dari semua sudut operasi dan akan memperbaiki setiap kelemahan demi menyantuni Tetamu Allah pada masa akan datang. Operasi Haji TH bagi Musim Haji 1437H/2016M akan berakhir dengan penerbangan balik kumpulan terakhir Jemaah Haji Malaysia dari Tanah Suci
yang dijangka tiba di KLIA pada 15 Oktober 2016 nanti.