Satu sesi ziarah yang dihadiri oleh wakil-wakil Pejabat TH Negeri Johor dan Cawangan Muar telah diadakan di sini pada hari ini. Tujuan ziarah ini adalah untuk menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan TH terhadap waris dan keluarga Allahyarhamah Rahmah binti Yusop, 65, yang merupakan jemaah haji ke-17 meninggal di Tanah Suci Makkah baru-baru ini. Ziarah di kediaman Allahyarhamah telah diadakan pada jam 3:00 petang.
Dalam majlis tersebut, Pengurus TH Cawangan Muar, Mohd Shariff Maahad telah memberikan sepatah dua kata ucapan alu-aluan, diikuti dengan Solat Ghaib, bacaan Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh PEKTA TH, Ustaz Haji Hidhir Ismail. Sumbangan wang khairat kematian dan saguhati berupa air zam-zam telah diberikan kepada waris Allahyarhamah oleh Tuan Mustafa Kamal Abdul Latif, Timbalan Pengarah TH Negeri Johor.