Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini menganjurkan Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Bagi Musim 1440H/2019M Peringkat Negeri Selangor. Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan mencemar duli untuk hadir di majlis tersebut yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Kursus ini berlangsung selama dua (2) hari bermula Sabtu, 22 Jun 2018 sehingga Ahad, 23 Jun 2019. Kursus ini melibatkan penyertaan lebih daripada 6,000 orang bakal jemaah bagi seluruh Negeri Selangor.
Dalam majlis yang sama, YBhg. Dato’ Sri Zukri Samat, Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif TH turut mempersembahkan Zakat Perniagaan TH Negeri Selangor bagi tahun 2018 berjumlah RM24,721,844.00 kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 26.3 peratus berbanding RM19,579,972.09 (2017). Negeri Selangor merupakan penerima Zakat TH yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Manakala Kursus Perdana Haji yang berlangsung selama dua hari satu malam ini adalah kursus terakhir anjuran TH sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan oleh TH. Ia juga merupakan sesi untuk pihak TH memberi informasi terkini kepada bakal-bakal haji sebelum mereka bertolak ke Tanah Suci. Kursus ini dibimbing oleh Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) bertauliah dan dibantu oleh petugas kebajikan serta petugas perubatan TH.