SEPANG, 8 NOVEMBER 2022- Lembaga Tabung Haji (TH) telah memulakan persediaan bagi Musim Haji 1444H dengan mengadakan Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) Kali Ke-39 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA hari ini.
Muzakarah Haji yang bertemakan ‘Akidah Sejahtera Asas Kemabruran Haji’ berlangsung selama tiga hari bermula dari 7-9 November 2022 dan dirasmikan oleh Pengerusi TH, YBhg Tan Sri Azman Haji Mokhtar.
Muzakarah Haji kali ini bertujuan untuk membincangkan isu berkaitan bimbingan serta hukum-hakam ibadat haji yang timbul semasa musim haji 1443H lalu, mencari penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah selain memberi peluang kepada para Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan ilmuan agama seluruh negara untuk berkumpul berkongsi ilmu dan pengalaman menetapkan keseragaman hukum-hakam.