BANGI, 6 Februari 2023 - Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) 2022/1444H Kali ke-11 bermula dari 26 Disember 2022 hingga 7 Februari 2023 kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan turut terbuka kepada guru-guru Agama syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH).
Program ini berkonsepkan pembelajaran berbentuk akademik secara atas talian dan bersemuka dengan modul-modul yang sistematik dan berkesan untuk membimbing Jemaah Haji di Tanah Air dan Tanah Suci. Objektif program ini bertujuan melahirkan Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (PIHTAS) yang berpengetahuan tinggi di bidang pengajian ibadat haji melalui pembelajaran yang sistematik. Selain itu, program ini turut menjelaskan hukum-hakam ibadat haji terkini berdasarkan isu-isu dan masalah semasa.
Program ini juga digarap sebagai persediaan membentuk PEKTA dan PIHTAS yang berkemampuan mengajar dengan teknik pengajaran yang berkesan. Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh, Pengarah Eksekutif Haji TH dan turut dihadiri YBhg. Prof. Dato’ TS Dr. Sharifuddin, Naib Canselor USIM. Kedua-dua tetamu kehormat telah menyampaikan sijil kepada 100 peserta Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) 2022/1444H.