Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini melancarkan Tabung Rohingya Utusan-TH yang disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH di bangunan Ibu Pejabat TH, Kuala Lumpur. Inisiatif ini adalah hasil kerjasama TH dengan Kumpulan Utusan dan Kelab Putra 1Malaysia (KP1M).
TH amat bersimpati dengan nasib etnik Rohingya beragama Islam yang dizalimi di Myanmar dan berharap dana yang dikumpul akan membantu meringankan beban mangsa-mangsa penindasan tersebut. Tabung ini akan dibuka selama empat bulan, bermula 1 Disember 2016 sehingga 1 April 2017.
Dalam majlis ini, sejumlah RM283,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan Jakel Trading Sdn Bhd, TH, KP1M, TH Plantations Berhad, TH Travel & Services Sdn. Bhd, TH Properties Sdn. Bhd., Surau TH, Koperasi TH Sdn. Bhd. dan Masjid TH Kelana Jaya.