Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan Majlis Pecah Tanah Kompleks Haji Dan TH Hotel Sarawak yang bertempat di Lot 239 & 587, Blok 11, Kuching Central Land, Kuching, Sarawak. Majlis pecah tanah tersebut telah disempurnakan oleh YAB. Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak dan turut dihadiri oleh YB. Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta YBhg. Dato' Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
YAB. Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dalam ucapannya mengucapkan terima kasih dan tahniah atas komitmen serta kesinambungan usaha TH selama lima dekad penubuhannya serta pemilihan Bandaraya Kuching, Sarawak sebagai lokasi untuk mengembangkan pelaburan hartanahnya. Beliau juga berharap semua pihak yang terdiri daripada agensi kerajaan mahupun swasta menggembleng tenaga memberi kerjasama dan sokongan padu bagi memastikan projek ini siap dibina pada tahun 2017 nanti.
Pembinaan kompleks haji ini juga menjadi mercu tanda kekukuhan kedudukan TH di Sarawak serta mengeratkan lagi kerjasama strategik TH dengan kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan, menjaga kebajikan dan memberikan keselesaan para jemaah haji apabila beroperasi kelak.