Seramai 279 orang bakal-bakal haji Sabah menjadi kumpulan pertama dari negeri itu yang berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.
Majlis telah diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar Bin Haji Mahiruddin dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni.
Turut hadir, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman, Ketua Menteri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Haji Bungsu Aziz bin Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, YB. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH dan Pengurusan Kanan TH.
Penerbangan terus KT-32 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ini dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah pada jam 12.15 tengahmalam (waktu Malaysia) atau jam 7.15 malam (waktu tempatan).
Pada musim haji kali ini, satu penerbangan terus dan satu penerbangan transit dari Kota Kinabalu disediakan untuk membawa lebih 390 orang bakal haji Negeri Sabah. Sehingga hari ini, hampir 50% bakal haji Malaysia telah pun berlepas ke Tanah Suci. Penerbangan Sabah bermula hari ini dan penerbangan terakhir iaitu KT35 yang dijadualkan pada 1 September ini.