Shah Alam, 30 Julai 2018. Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berharap jemaah haji dari Selangor, dapat menunaikan ibadah haji di Makkah dalam keadaan selamat dan memperoleh haji mabrur.
Dalam titahnya ketika merasmikan majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji musim 1439H/2018M peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Baginda berharap jemaah haji diberi kesihatan baik bagi memudahkan ibadah haji dikerjakan selain mengingatkan semuanya mengikuti segala arahan dan mematuhi peraturan ditetapkan Lembaga Tabung Haji dan Kerajaan Arab Saudi.
Baginda berharap kursus perdana haji diikuti memberi manfaat dan ilmu diperlukan bagi mereka menyempurnakan Rukun Islam kelima itu.
Seramai kira-kira 7,830 bakal haji dari Selangor akan menunaikan ibadah haji di Mekah tahun ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Pengerusi jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Mufti Selangor dan wakil wakil Majlis Agama Islam Negeri Selangor.