Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan Program Masjid Angkat M2M (Mosque to Mosque) yang julung-julung kalinya diadakan sebagai khidmat kepada komuniti setempat. Program yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula dari 24 April hingga 26 April 2015 bertempat di Masjid Mukim Tebing Tinggi, Kampung Kusial Baru, Tanah Merah.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Johan Abdullah, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH. Dalam majlis yang sama, TH melalui pengurusan masjid dan surau ibu pejabat TH juga turut menyumbangkan barangan dan peralatan untuk kegunaan masjid berkenaan bernilai RM30,000.
Program kemasyarakatan ini bertujuan bagi membantu pemulihan masjid dan surau yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir tahun lalu. Program ini disertai oleh pelatih Skim Latihan 1Malaysia Tabung Haji (SL1M-TH), Siri Ke-4 dan Siri Ke-5 serta anggota TH.