Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali Ke-31 yang telah dirasmikan oleh YB. Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di TH Hotel & Convention Centre, Alor Setar.
Muzakarah haji tahunan yang berlangsung selama empat hari bermula dari 16 hingga 19 Januari 2015 ini, merupakan salah satu platform perbincangan ilmiah dan keilmuan khusus kepada Pengkursus Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (PIHTAS) dalam menyelaraskan hukum-hukum berkaitan ibadat haji dan umrah di Malaysia. Selain itu, Muzakarah haji ini turut menjadi medan kepada para peserta untuk mendapatkan maklumat serta pendedahan mengenai kaedah terbaik dalam penyelarasan dan penetapan hukum-hukum ibadah haji dan umrah.
Sejumlah 319 orang pembimbing ibadah haji seluruh negara termasuk 14 orang delegasi dari negara serantau seperti Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Singapura, China dan Thailand turut menyertai Muzakarah Haji pada kali ini.