Kelantan, 4 Januari 2020 - Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai TH (PUK & KPE) Tuan Haji Nik Mohd Hasyudeen Bin Yusoff telah memulakan siri lawatan kerja beliau yang pertama ke TH Kelantan pada 4 Januari 2020. Rombongan PUK & KPE TH telah disambut oleh Pengarah TH Kelantan Tuan Haji Amat Kassim bin Pait dan barisan pengurusan cawangan TH Kelantan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Haji Ashrof bin Shamsuddin. PUK & KPE telah diberi taklimat berhubung operasi di TH Kelantan dan beliau turut berkongsi pengalaman dan amanat beliau di dalam misi dan visi untuk memperkukuhkan TH sebagai institusi Islam yang dihormati di atas Pencapaian dan Tadbir Urus.
Pada sebelah petangnya, bertempat di Sutera Inn, Kota Bahru, PUK & KPE telah menghadiri program “Sembang Santai Bersama Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH" anjuran TH Kelantan. Program tersebut dihadiri oleh 75 orang wakil dari pejabat Pendidikan Negeri Kelantan yang terdiri daripada guru-guru agama, pengetua dan Penolong Kanan Sekolah di sekitar Kota Bahru. Program ini bertujuan untuk pengurusan TH Kelantan khususnya mendekati pendeposit TH dan mendapatkan input, buah fikiran dan pandangan ke arah halatuju kecemerlangan perkhidmatan TH .
PUK & KPE dan rombongan juga berkesempatan meluangkan masa mengunjungi Mufti Kerajaan Negeri Kelantan YB. Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohamad Shukri Bin Mohamad di kediaman beliau di Kota Bahru. Dalam kunjungan tersebut, Tuan Haji Nik telah berkongsi visi dan aspirasi beliau di dalam memastikan kecemerlangan urusan Haji dan pentadbiran Harta umat Islam di Malaysia.