KUCHING, 4 Disember 2021 – Seramai 685 orang bakal Jemaah Haji Negeri Sarawak bagi Musim Haji 1443H/2022M kini menjalani Kursus Asas Haji (KAH) secara dalam talian bermula pada 19 November 2021 hingga 20 Februari 2022 serentak seluruh Malaysia.
Bersempena dengan lawatan kerja rasmi YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary ke agensi-agensi di bawah JPM, beliau telah meluangkan masa bersiaran secara langsung di saluran YouTube bersama para peserta yang terdiri daripada bakal-bakal Jemaah Haji Negeri ini.
“Penganjuran kursus-kursus sepanjang tempoh norma baharu ini mungkin menjadi cabaran kepada peserta, khususnya dari segi penyediaan peralatan kursus di rumah dan juga mungkin masalah capaian internet terutama yang tinggal di kawasan pendalaman. Walaubagaimanapun, seiring dengan kemajuan teknologi dan juga demi mematuhi prosedur standard operasi, maka cara ini adalah dilihat lebih tepat dan selamat selain para peserta juga boleh berinteraksi secara langsung sepanjang kursus,” kata beliau yang turut hadir menyerahkan Kad Tauliah Mengajar (e-Katam) kepada para Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dalam majlis ringkas bertempat di Dewan Islamic Information Centre, Kuching.