KUCHING, 16 SEPTEMBER 2023: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang dua buah van jenazah dan sebuah van penumpang kepada Masjid Darul Halim, Masjid Ar Rahmah dan Pusat Pendidikan Muhammad Al Fateh di Majlis Serahan Van Program Mobiliti TH Tahun 2023 peringkat Negeri Sarawak. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Haji Na’im Haji Mokhtar berkata, “Saya berharap pihak pengurusan masjid dan Pusat Pendidikan Muhammad Al Fateh akan menggunakan kenderaan ini dengan baik bagi manfaat ahli kariah, pelajar-pelajar tahfiz serta masyarakat setempat.”
Sementara itu, beliau turut berkata bahawa usaha terpuji ini harus diteruskan demi menjaga kemaslahatan ummah dalam menyempurnakan tuntutan fardu kifayah serta menyantuni keperluan masyarakat muslim setempat. “Program Mobiliti ini merupakan program yang selari dengan salah satu tonggak Malaysia Madani yang memupuk sikap ‘Ihsan’ dalam usaha membantu Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” kata YB Dato’ Setia.