SHAH ALAM, 21 MEI 2022: Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Kursus Perdana Haji Musim 1442H/2022M secara berperingkat di seluruh negara bermula 15 Mei sehingga 29 Mei 2022.
Kursus Perdana Haji merupakan kursus terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan oleh TH di seluruh Malaysia. Seramai 2,700 jemaah dari Selangor menyertai Kursus Perdana Haji 2022 yang dianjurkan oleh TH dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata objektif utama TH menganjurkan Kursus Perdana Haji ini adalah bagi melahirkan jemaah haji yang berpengetahuan dan berkeyakinan ketika melaksanakan ibadat haji kelak.