SHAH ALAM, 13 Mac 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) telah melancarkan majlis penjenamaan semula Kelab TaHa bagi menarik minat dan tawar pelbagai kelebihan menarik kepada lebih dua (2) juta ahli kelab terdiri daripada kalangan para pendeposit muda.
Usaha ini adalah bagi menjadikan kelab ini lebih terkini dan relevan dengan keperluan generasi muda beragama Islam di Malaysia.
"Kelab TaHa telah wujud selama hampir 13 tahun sejak penubuhannya pada bulan April 2008. Pada tahun ini, TH menawarkan pelbagai keistimewaan yang lebih menarik selain menampilkan logo baharu kelab sebagai sebahagian daripada transformasi mengikut peredaran semasa. Kini, keahlian Kelab TaHa tidak lagi terhad kepada para pendeposit di sekolah rendah dan menengah sahaja, tetapi telah dibuka untuk kesemua pendeposit muda berusia seawal bayi baru lahir sehingga berumur 17 tahun. Ahli juga tidak perlu mendaftar dan ianya adalah percuma,” kata Pengarah Eksekutif (Operasi) TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad semasa pelancaran logo dan keistimewaan Kelab TaHa pada baru-baru ini.