SEPANG, 5 JULAI 2023 : Kumpulan pertama yang terdiri daripada 280 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.45 malam hari ini menerusi penerbangan AMAL by Malaysia Airlines (MH 8261) yang telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz (KAIA) Jeddah pada jam 7.15 pagi (waktu Arab Saudi) pada hari yang sama.
Ketibaan jemaah haji negara telah disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Tabung Haji (TH) Tuan Syed Hamadah Syed Othman dan Pengurusan Kanan TH di balai ketibaan KLIA. Tuan Syed Hamadah turut mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan selamat pulang serta tahniah kepada para jemaah haji yang telah selesai melaksanakan rukun Islam ke lima pada musim haji tahun ini.