Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah berjumlah RM3,460,121.68.
SPB Yang Di-Pertuan Agong Almuta'simu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al Marhum Sultan Badlishah telah berkenan menerima zakat tersebut bagi pihak Jabatan Zakat Negeri Kedah yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato' Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH bertempat di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Pengagihan zakat TH ini adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan oleh TH untuk tahun kewangan 2012. Jumlah zakat untuk Negeri Kedah bagi tahun 2012 ini telah meningkat sebanyak 4.9% berbanding RM3,297,105.03 bagi tahun 2011.