Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan Majlis Pelepasan Jemaah Haji 1434H/2013M dari Wilayah Utara. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong serta Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan berangkat untuk mengucapkan selamat jalan kepada semua bakal jemaah haji penerbangan terus pertama dari Alor Setar ke Madinah.
Di dalam titah ucapannya, Baginda mengucapkan tahniah kepada para bakal jemaah kerana dipilih menjadi tetamu Allah pada musim haji pada tahun ini. Baginda juga turut menasihatkan para bakal jemaah agar memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut dengan sempurna dan dikurniakan haji yang mabrur. Para bakal jemaah juga memerlukan pengorbanan yang tinggi segi mental, fizikal dan spiritual di samping penjagaan kesihatan yang baik .