Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyambut ketibaan kumpulan pertama Jemaah Haji Malaysia dari tanah suci bagi Musim Haji 1440H/2019M di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Penerbangan balik kumpulan pertama yang terdiri daripada 479 jemaah haji ini turut disertai YBhg. Tan Sri Md. Nor Md. Yusof, Pengerusi TH.
Penerbangan balik pertama ini tiba dengan pesawat MH8301 yang berlepas pada Isnin, 19 Ogos 2019, jam 1:10 pagi (waktu Arab Saudi) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah dan tiba di tanah air pada hari yang sama, jam 3:38 petang (waktu Malaysia). Penerbangan balik pertama ini menandakan bermulanya Fasa Kedua Operasi Haji TH bagi Musim 1440H/2019M.
Pengurusan Kanan TH bersama-sama hadir di KLIA bagi menyambut kepulangan kumpulan pertama jemaah haji tersebut.
Penerbangan balik kumpulan terakhir Jemaah Haji Malaysia dari tanah suci adalah pada 13 September 2019 ini.