Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri, YABhg Datin Seri Rosmah Mansor hadir mengucapkan selamat jalan kepada semua 270 bakal jemaah haji penerbangan ke-enam (KT06) pada awal pagi ini bertempat di TH Hotel Kelana Jaya.
Penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah dengan menggunakan pesawat MH8004 berlepas pada jam 12.30 tengahari dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah pada jam 9.15 malam (waktu Malaysia) atau jam 4.15 petang (waktu Saudi).
Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri Najib Tun Razak menasihatkan para Jemaah haji agar sentiasa berakhlak baik dan menjaga disiplin diri sepanjang mengerjakan haji di Tanah Suci.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ashraf Wajdi Dusuki, Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah TH dan barisan Pengurusan Kanan TH.