Majlis Perhimpunan Anggota TH Kali Kedua Bagi Tahun 1434H/2013M telah diadakan di Dewan Besar TH pada hari ini. Majlis ini merupakan perhimpunan pertama yang dihadiri oleh Pengerusi Baru TH, YB Datuk Haji Abdul Azeez bin Abdul Rahim selepas pelantikannya pada 1 Julai 2013 baru-baru ini.
Datuk Haji Abdul Azeez dalam ucapannya menyeru semua anggota TH untuk memberikan sokongan yang jitu dan bersama-sama berganding bahu sebagai sebuah keluarga dalam usaha menaikkan lagi martabat TH sebagai sebuah institusi Islam yang tersohor di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa. Beliau juga berkongsi pengalaman serta aspirasi beliau dalam usaha membawa TH ke satu tahap yang lebih tinggi, baik dari segi perjalanan operasi, kebajikan jemaah haji dan seterusnya ummah sejagat.
Turut sama hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua pegawai Eksekutif TH, Dato' Paduka Ismee Ismail, Ketua Pegawai Operasi TH, Dato' Kamaruddin Mat Ali, Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif anak-anak syarikat TH, barisan Pengurusan Kanan TH dan para anggota TH.