SELANGOR, 13 April 2020 - YBhg. Tan Sri Md Nor Md Yusof hari ini mengadakan lawatan ke TH Hotel Kelana Jaya bagi melihat sendiri operasi penyediaan dan penghantaran makanan kepada hospital-hospital di Kuala Lumpur dan Selangor.
Sebanyak 2,500 pek makanan diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang merupakan petugas perubatan di 7 buah hospital yang menguruskan kes Covid-19 di Lembah Kelang. Agihan pek makanan dua (2) kali sehari iaitu makan tengahari dan malam ini telah bermula sejak Rabu, 25 Mac 2020 lalu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
TH juga turut menyumbang pek makanan kepada anggota polis yang bertugas di lapangan demi menjaga keselamatan negara ketika tempoh sukar ini. Sumbangan ini adalah bagi menghargai khidmat semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam membendung penularan wabak Covid 19 di negara ini.
YBhg. Tan Sri Md Nor turut mengucapkan terima kasih atas komitmen semua kakitangan yang terlibat di TH Hotel Kelana Jaya dalam proses penyediaan bantuan makanan tersebut.