Kuala Lumpur, 14 Mac 2022 - Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini menandatangani perjanjian kerjasama dengan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) untuk membangunkan sistem e-Learning Haji.
Kerjasama ini menggandingkan kepakaran pihak Universiti dengan pengalaman pengendalian haji TH di peringkat dunia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata pembangunan platform e-Learning Haji ini bertujuan untuk membantu bakal jemaah haji mempelajari dan menambah ilmu ibadat haji dengan lebih efektif dan mudah, pada bila-bila masa di mana-mana sahaja secara dalam talian.
Projek e-Learning Haji ini adalah sebahagian daripada inisiatif pelan strategik TH iaitu HIJRAH24 untuk memperkasakan bimbingan haji dan memenuhi kepuasan pelanggan, sepertimana yang terkandung dalam Rangka Tindakan Pengurusan Haji (2021-2025).