KOTA KINABALU, 21 April 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah menyerahkan Cek Cura Bantuan Ehsan Ramadan TH berjumlah RM45,000 kepada Pengarah Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ustaz Md Razali Saibin bersempena Majlis Iftar Perdana UMS di Masjid UMS pada hari ini.
Bantuan Ehsan ini adalah salah satu dari program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH bersempena bulan Ramadan, bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Seramai 90 Orang Pelajar Asnaf B40 UMS yang telah terpilih untuk menerima bantuan ini.
Simbolik serahan Cek Cura ini telah disampaikan oleh Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Hajah Nurlaila binti Hj Said Pengarah Negeri Sabah bersama-sama Hj Yusdi bin Hj Nasip dan turut disaksikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin. Turut hadir sama dalam majlis ini adalah Ahli Lembaga Pengarah UMS, Timbalan Naib Canselor UMS, Pengurusan Tertinggi UMS, Ketua Jabatan UMS dan para pelajar UMS.