KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER 2023: Majlis Kesyukuran Sempena Tamat Operasi Haji Musim 1444Hijrah yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sebagai tanda kesyukuran atas hasil kejayaan TH, agensi agensi kerajaan, swasta serta 'Sahabat Korporat TH' dalam membantu melancarkan perjalanan operasi haji yang lalu.
Majlis yang dianjurkan ini adalah untuk merakamkan tanda penghargaan TH kepada pihak-pihak yang telah bersama-sama menjayakan operasi haji di Tanah Air dan Tanah Suci yang dihadiri oleh lebih 300 orang petugas dan wakil daripada agensi dan syarikat swasta yang telah terbabit di dalam operasi haji tahun 1444H/2023M disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur.
Sebanyak 29 organisasi telah menyumbang RM3.3 juta melalui program ‘Sahabat Korporat TH’ bagi membantu urusan penyediaan kelengkapan ibadat bakal Jemaah Haji Malaysia. Sumbangan adalah dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, tikar sejadah, bahan bacaan seperti buku-buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian.