PULAU PINANG, 22 Ogos 2022 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat Perniagaan bagi tahun kewangan 2020 dan 2021 bernilai RM8,040,457.49 kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di Sri Mutiara, Jalan Utama, Pulau Pinang. Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak telah menerima bayaran zakat perniagaan tersebut bagi pihak MAINPP yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Tuan Haji Mohamed Ameen Abdul Wahab.
Bayaran zakat TH untuk Negeri Pulau Pinang sebanyak RM4.05 juta bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 1.3 peratus berbanding tahun 2020. Jumlah keseluruhan bayaran zakat TH sebanyak RM101.19 juta untuk tahun 2021 turut mencatatkan peningkatan sebanyak 1.41 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, YB. Dato’IR Haji Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Mufti Pulau Pinang, YB. Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd Noor; Setiausaha MAINPP Dato’ Haji Samsudin Bakar; Pengarah Wilayah Utara TH Dato’ Haji Mohammad Mokhzani Mukhtar; Pengarah Negeri Pulau Pinang TH Hajah Maznizan Mamat dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP).