PUTRAJAYA, 27 JUN 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah menyumbang sebanyak 40 buah kenderaan (van serbaguna) bernilai RM5.4 juta kepada masjid, surau, Pusat Tahfiz serta rumah kebajikan terpilih menerusi Program Mobiliti TH di Majlis Serahan Perdana Program Mobiliti TH di Dataran Kompleks Islam, Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad berkata, sumbangan kenderaan dwi-fungsi Program Mobiliti TH ini asalnya bertujuan untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah dalam pengurusan jenazah terutama kepada pihak masjid yang memerlukan di luar bandar. "Melalui Program Mobiliti ini, TH menyumbang kenderaan dwi-fungsi yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga dijadikan sebagai van penumpang untuk kegunaan ahli kariah ketika melakukan aktiviti bermanfaat,” kata beliau.
Program Mobiliti TH ini juga merupakan salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam Aspirasi Keluarga Malaysia untuk pencapaian enam bulan pertama tahun ini.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Wakil Ketua-Ketua Agensi Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri, Barisan Pengurusan Kanan TH, Ahli Jawatankuasa Zakat Wakalah TH, dan para Wakil Penerima Van Mobiliti TH 2022.