KUALA LUMPUR, 30 JANUARI 2023 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyerahkan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 22 syarikat pelancongan tempatan dan anak syarikatnya TH Travel & Services Sdn Bhd untuk Musim Haji 1444H/2023.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pemilihan PJH adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta berwibawa supaya mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik serta sentiasa menjaga kebajikan jemaah haji negara.
“TH ingin mengingatkan semua bakal jemaah haji yang berhasrat ingin menunaikan haji tahun ini untuk lebih berhati-hati dan memilih pakej yang disediakan oleh syarikat-syarikat PJH yang dilesenkan ini sahaja,” kata beliau semasa majlis penyerahan Lesen PJH di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.